Selasa, 17 Januari 2012



ASAP
Maya Iza Azizan

Asap
mengapakah
bisamu
memedihkan mataku
menangis – tanpa dosa ?

Asap
mengapakah rongga-ronggamu
semakin lama semakin membesar
dan aku tenggelam lemas
tanpa airnya?

Asap
hanya satu jantungku ini
telah kau rampas
berjuta-juta yang lain
tua dan muda
tanpa belas.

Asap,
tidak dapat kurasai
dengan sentuhan
tetapi bahangmu cukup
memusnahkan segala
tanpa apinya.






SAJAK ASAP

[Penulis: Maya Iza Azizan]

MAKSUD Rangkap 1:
Penyajak mempersoalkan asap beracun yang menyakitkan matanya sehingga menyebabkan matanya berair tanpa sebab.

Rangkap 2:
Asap yang semakin luas tersebar menyebabkan penyajak mengalami masalah pernafasan.


Rangkap 3:
Asap telah meragut nyawa berjuta-juta manusia tanpa belas kasihan.

Rangkap 4:
Bahang asap mampu memusnahkan segala-galanya tanpa adanya api.


TEMA
 Kesan pencemaran udara kepada manusia.



PERSOALAN
• Masalah pencemaran udara yang semakin berleluasa.

• Pencemaran udara menjejaskan kesihatan manusia.

• Pencemaran udara menyebabkan kematian manusia.

• Pencemaran udara menyebabkan pemanasan global.


NADA - Marah

BENTUK
 • Bebas.
• Terdiri daripada 4 rangkap.
• Rangkap pertama mempunyai 5 baris, rangkap kedua 5 baris, rangkap ketiga dan rangkap keempat mempunyai 6 baris.
• Bilangan katanya 1-4 patah kata sebaris.
• Terdiri daripada 2-11 suku kata sebaris.
• Rima akhir bagi:
Rangkap pertama: abccd
Rangkap kedua : abcde
Rangkap ketiga : abcdec
Rangkap keempat: abcdee

GAYA BAHASA
• Asonansi
 Semakin lama semakin membesar (pengulangan vokal a)

• Aliterasi
 Hanya satu jantungku ini (pengulangan konsonan n)

• Personifikasi
 Hanya satu jantungku ini; telah kaurampas

• Inversi
 Hanya satu jantungku ini

• Sinkope
 Mu, kau, ku

• Repetisi
     Asap

• Retoris (luahan perasaan dalam bentuk soalan)
 Mengapakah
 Bisamu
 Memedihkan mataku
 Menangis – tanpa sebab?

• Paradoks:
 Dan aku tenggelam lemas
      tanpa airnya?

NILAI
• Mencintai alam sekitar
• Prihatin
• Bersyukur
* Kesedaran



PENGAJARAN
• Jangalah kita menghisap rokok kerana asap yang terhasil itu membahayakan kesihatan semua pihak.
• Kita haruslah sedar bahawa maut boleh datang dengan tiba-tiba hanya kerana asap.
• Kita janganlah melakukan sesuatu yang merosakkan diri dan alam.